KUALA LUMPUR: Bekas eksekutif Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) dijatuhi hukuman penjara sehari dan didenda berjumlah RM123,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dua pertuduhan menerima suapan wang bernilai lebih RM21,000 berhubung kerja-kerja penyelenggaraan untuk syarikat berkenaan.
Hakim Rozina Ayob menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Amal M Razalan (gambar), 36, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah pada prosiding sebutan kes hari ini.
Sebelum menjatuhkan hukuman Rozina berkata mahkamah akan memberikan peluang terakhir kerana tertuduh seorang profesional dan berharap dia akan belajar daripada kesilapan.
Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM10,360 atau penjara 30 hari sekiranya gagal membayar denda.
Sementara bagi pertuduhan kedua, mahkamah menetapkan penjara sehari dan denda RM112,640 atau penjara 60 hari jika gagal membayar denda, selain memerintahkan kedua-dua hukuman penjara berjalan serentak bermula hari ini.
Sementara itu, 41 lagi pertuduhan rasuah termasuk enam pengubahan wang haram yang dihadapi Mohd Amal sebelum ini diambil kira untuk dipertimbangkan (TIC) di bawah Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, Mohd Amal sebagai Eksekutif (Pembinaan) PCSB didakwa telah secara rasuah menerima suapan berjumlah RM21,247.04 daripada Pengarah Syarikat Majestika Sdn Bhd Mustaza Zawawi menerusi cek Maybank Berhad milik syarikat itu (Majestika) dan menerusi akaun Maybank Berhad milik MAMN Goldenvision Enterprise.
Perbuatan itu adalah hasil persubahatan Mohd Amal bersama Pengarah MAMN Goldenvision Enterprise sebagai upah membantu Faltech Engineering Sdn Bhd mendapatkan kerja-kerja perkhidmatan penyelenggaraan awam dan struktur untuk PCSB.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Berhad cawangan KLCC, Jalan Ampang, di sini antara 21 Feb dan 6 Mac 2018 mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fadhly Mohd Zamry memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran bukan sahaja terhadap tertuduh tetapi juga masyarakat umum.
Peguam Datuk Hasnal Rezua Merican yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya telah insaf selain merupakan penanggung utama keluarga.
Pada 8 Nov lepas, Mohd Amal didenda RM177,000 dan dipenjara sehari oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan menerima suapan RM35,217.50 sebagai upah membantu sebuah syarikat lain bagi mendapatkan kerja-kerja penyelenggaraan struktur untuk PCSB. -Bernama