• 2025-07-31 04:47 PM

PUTRAJAYA: Trend penuaan di Malaysia terus meningkat dengan 12 negeri kini mencapai status negeri menua, termasuk tiga negeri baharu iaitu Melaka (7.3%), Pahang (7.1%), dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (7.1%).

Data terkini Anggaran Penduduk Semasa Malaysia 2025 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan Perak kekal negeri tertua dengan 10.3% penduduk berusia 65 tahun ke atas.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin menjelaskan, sesebuah negeri dikategorikan menua jika peratus penduduk tua melebihi 7%.

“Selangor mencatat populasi tertinggi (21.6%), diikuti Johor (12.3%) dan Sabah (11%), manakala Labuan dan Putrajaya merekodkan peratus terendah iaitu 0.3% dan 0.4%,“ jelasnya.

Jumlah penduduk Malaysia dianggarkan 34.2 juta pada 2025, dengan pertumbuhan 0.5%.

Penduduk warganegara meningkat kepada 30.9 juta (pertumbuhan 0.6%), sementara bukan warganegara menurun -0.5%.

Peratus penduduk tua meningkat kepada 8% (2024: 7.6%), manakala kumpulan umur bekerja (15-64 tahun) naik sedikit kepada 70.4%.

Komposisi kaum Bumiputera meningkat kepada 70.5% berbanding 70.3% pada 2024, sementara kaum Cina menurun kepada 22.2%.

Nisbah jantina menunjukkan lelaki mengatasi perempuan (110:100), kecuali di Perlis (99) dan Putrajaya (97).

Kuala Lumpur merekodkan nisbah tertinggi (117 lelaki per 100 perempuan).

Kepadatan penduduk negara meningkat kepada 104 orang/km², dengan Kuala Lumpur paling padat (8,546 orang/km²).

Berdasarkan unjuran, populasi Malaysia dijangka memuncak pada 2059 (42.38 juta) sebelum menurun selepas 2060. – Bernama