GEORGE TOWN: Polis menahan 14 individu kerana disyaki berjudi di sebuah bengkel kereta di Jalan Sungai Pinang, di sini awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad berkata sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah telah menjalankan serbuan di bengkel tersebut kerana disyaki terdapat aktiviti perjudian pada 2.30 pagi ini.
“Hasil serbuan, polis berjaya menahan 14 lelaki warga tempatan berumur dalam lingkungan 27 hingga 57 tahun.
“Turut dirampas barang kes termasuk sebuah meja, 52 keping daun terup, tiga unit walkie-talkie dan wang tunai berjumlah RM4,288,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kesemua suspek direman dua hari hingga esok untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.