• 2025-07-30 07:04 PM

KUCHING: Seramai 15,000 permohonan Bantuan Kewangan Khas Pelajar Sarawak di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Malaysia telah diluluskan, dengan sebahagian penerima sudah menerima wang tersebut.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan pembayaran akan dilaksanakan secara berperingkat bagi baki penerima. “Secara keseluruhan, 42,000 pelajar anak Sarawak akan mendapat manfaat bantuan ini melibatkan peruntukan RM50.5 juta,“ katanya melalui hantaran Facebook.

Beliau hadir Majlis Pelancaran Bantuan Kewangan Khas Pelajar Sarawak di Kuala Lumpur hari ini yang dirasmikan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Bantuan RM1,200 ini diberikan kepada semua pelajar Sarawak di IPT tanpa mengira latar belakang keluarga atau tahap pendapatan. “Ini manifestasi komitmen kerajaan Sarawak memastikan tiada pelajar tercicir dalam pengajian tinggi akibat masalah kewangan,“ jelas Fadillah.

Beliau mengucapkan penghargaan kepada Abang Johari atas inisiatif ini yang dapat meringankan beban kewangan ibu bapa dan pelajar. Selain bantuan wang saku, kerajaan Sarawak turut menyediakan komputer riba percuma, baucar buku, dan subsidi tiket penerbangan RM300 melalui program IGPS.

“Semua ini hasil dasar ekonomi mampan Sarawak. Pendapatan negeri yang kukuh diterjemah dalam program kebajikan untuk rakyat,“ katanya. Inisiatif ini bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi bukti kesungguhan kerajaan memastikan tiada rakyat tertinggal dalam pembangunan. - Bernama