SHAH ALAM: Kerajaan Selangor memutuskan bahawa caj air bagi pengguna domestik yang menggunakan sehingga 20 meter padu sebulan kekal pada kadar sedia ada, iaitu 65 sen bagi setiap meter padu.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ini bermaksud tiada peningkatan kerana kadar itu telah diselaraskan pada Februari 2024, sekali gus caj minimum RM6.50 turut kekal bagi pengguna domestik.
Beliau berkata, pelarasan tarif air dibuat berdasarkan kadar caj yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), selepas Jemaah Menteri meluluskan pelarasan tarif air baharu bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan susulan permohonan yang dikemukakan oleh negeri-negeri atas keperluan untuk mengukuhkan perkhidmatan air terawat kepada rakyat dan industri.
“Kerajaan negeri berpendirian bahawa pelarasan tarif ini perlu supaya langkah-langkah meningkatkan rizab air kepada 20 peratus menjelang tahun 2030 amat diperlukan.
“Pelarasan ini akan membolehkan pihak Air Selangor mengukuhkan usaha penukaran paip asbestos yang berusia lebih 40 tahun sepanjang 1,600 kilometer (km) di seluruh Selangor pada kadar 300 km setahun, bermula tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata kadar baharu bagi rumah yang menggunakan 20 meter padu hingga 35 meter padu akan meningkat sebanyak RM0.30/meter padu kepada RM1.62, iaitu bagi penggunaan sehingga 35 meter padu sebulan.
Beliau berkata bagi rumah-rumah yang menggunakan lebih daripada 35 meter padu sebulan, atau bersamaan dengan 35,000 liter, kadar caj baharu akan berubah sebanyak RM0.88/meter padu kepada RM3.51 bagi setiap meter padu yang melebihi 35 m³.
Amirudin berkata perubahan itu bertujuan menggalakkan penggunaan air yang lebih optimum dan berhemah.
Bagi kategori kondominium, kuarters estet dan kuarters kerajaan, caj baharu akan meningkat sebanyak RM0.41/meter padu kepada RM2.09 bagi setiap meter padu air.
Amirudin berkata bagi kondominium, caj minimum secara pukal akan kekal pada kadar sebelum ini, iaitu RM173 sebulan, manakala caj minimum bulanan baharu bagi kuarters estet dan kuarters kerajaan akan meningkat kepada RM20.90 sebulan.
Bagi mengurangkan impak kos sara hidup kepada rakyat yang menetap di rumah kos rendah, Amirudin berkata kadar baharu akan menyaksikan peralihan terendah berbanding semua subkategori domestik, iaitu sebanyak RM0.10/meter padu kepada RM1.18/meter padu.
Amirudin berkata pihaknya juga komited untuk mencapai keseimbangan di antara penyelarasan kadar caj air bagi perusahaan komersial yang tidak terlalu membebankan agar kos operasi tidak meningkat dengan mendadak.
Untuk itu, katanya ruang komersial serta bangunan bukan domestik akan menyaksikan peralihan kadar caj pada kadar yang sama dengan pengguna domestik melebihi 35 meter padu, iaitu RM3.51/meter padu, peningkatan sebanyak RM0.57 bagi setiap meter padu.
Penggunaan melebihi 35 meter padu pula akan dikenakan caj sebanyak RM3.83 bagi setiap meter padu melebihi 35 meter padu, katanya.
Amirudin berkata rumah-rumah ibadat serta institusi kebajikan yang sah dan berdaftar masih menikmati kadar caj air paling rendah dengan peningkatan RM0.10/meter padu kepada RM0.76/meter padu supaya operasi rumah ibadat serta institusi kebajikan tidak terkesan secara keterlaluan.
Bagi industri perkapalan pula, katanya kadar caj baharu akan beralih sebanyak RM0.93/meter padu kepada RM8.01 bagi setiap meter padu, mengambil kira penggunaan air yangsemakin meningkat dalam industri itu.
Beliau berkata untuk pusat data, kerajaan negeri menerima keputusan Jemaah Menteri untuk mengenakan kadar sebanyak RM5.31/bagi setiap meter padu penggunaan air oleh pusat-pusat data.
“Meskipun pelaburan pusat-pusat data memainkan peranan penting dalam ekosistem penyimpanan, pemprosesan dan pengurusan data bagi menyokong bidang teknologi maklumat, kerajaan juga menyedari bahawa pusat-pusat data menggunakan kadar air yang mampu mencecah berjuta liter sehari untuk tujuan penyejukan sistem operasi,” katanya.
Amirudin berkata bagi memberikan tempoh persediaan yang sewajarnya bagi semua pengguna, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bersetuju bahawa kadar ini akan berkuat kuasa mulai 1 Sept 2025.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata sejak penyelarasan tarif air yang lalu, pihak Air Selangor telah menunjukkan beberapa prestasi positif seperti peningkatan margin rizab air daripada 13.86 peratus pada Februari 2024 kepada 16.74 peratus pada Jun lepas bagi memastikan Selangor dapat menghadapi perubahan cuaca seperti kemarau.
Air Selangor merupakan penyedia perkhidmatan bekalan air terbesar di negara ini yang menyalurkan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya melibatkan lebih 2.77 juta akaun termasuk pengguna domestik serta komersial.
Sementara itu, Amirudin berkata pihak Air Selangor sedang melaksanakan beberapa pembinaan Loji Rawatan Air baharu di Rasau serta Labohan Dagang 2, yang masing-masing menelan kos sebanyak RM7.671 bilion dan RM479.52 juta, yang mana usaha-usaha ini akan menambah kapasiti air terawat sebanyak 2,730 juta liter sehari.
Beliau juga menyatakan komitmen kerajaan negeri untuk terus memberikan air percuma kepada lebih 1.3 juta rakyat Selangor meliputi 337,851 akaun penerima Skim Air Darul Ehsan (SADE) dengan manfaat air percuma bernilai RM13 sebulan.
Kerajaan negeri juga akan meningkatkan had pendapatan isi rumah penerima SADE daripada RM5,000 sebulan kepada RM6,000 sebulan bagi membolehkan rakyat yang amat memerlukan dapat dibantu.
“Selain itu, kerajaan negeri juga akan menampung peningkatan caj bekalan air bagi rumah-rumah ibadat dan institusi kebajikan dengan anggaran kos sebanyak RM100,000 setahun.
“Usaha untuk mengukuhkan perkhidmatan air tanpa meningkatkan kos sara hidup rakyat yang memerlukan ini menyaksikan kerajaan negeri menanggung kos sehingga RM52.7 juta,” katanya. - Bernama