KUALA TERENGGANU: Seramai 18 peniaga ayam termasuk pemborong dan peruncit di Terengganu dikenakan tindakan dalam Op Pantau yang dijalankan bermula 3 hingga 7 April lepas.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata ia melibatkan pelbagai bentuk kesalahan seperti menipu tanda harga dan menjual ayam melebihi harga siling yang ditetapkan kerajaan.
“Kita telah melakukan pemeriksaan terhadap 1,935 premis dalam Op Pantau yang dilaksanakan sempena kedatangan Ramadan dan daripada jumlah itu, sebanyak 18 kes atas pelbagai kesalahan telah direkodkan dengan nilai kompaun keseluruhan sebanyak RM6,600,“ katanya di sini hari ini.
Oleh itu, beliau mengingatkan golongan peniaga supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan dengan sewenang-wenangnya pada bulan puasa ini dan menjelang perayaan.
Katanya, kerja-kerja pemantauan kini dijalankan lebih kerap berserta tindakan lebih tegas oleh anggota penguat kuasa.
Selain itu, Saharuddin berkata seramai 42 peniaga termasuk pemborong dan peruncit juga telah dikenakan tindakan kerana melanggar peraturan yang ditetapkan di bawah Skim Kawalan Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SKHKM) yang melibatkan nilai kompaun keseluruhan sebanyak RM9,100. - Bernama