NEW DELHI: Hujan lebat sejak dua hari lepas yang mencetuskan tanah runtuh dan banjir besar di timur laut dan selatan India, mengorbankan sekurang-kurangnya 18 orang serta menjejaskan ribuan yang lain, menurut pegawai pada Sabtu.
Hujan lebat melanda negeri-negeri timur laut termasuk Assam, Meghalaya, Nagaland, Mizoram dan Tripura, lapor Xinhua.
Menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negeri Assam (ASDMA), lima maut akibat tanah runtuh di Daerah Metropolitan Kamrup, manakala lebih 10,000 penduduk di enam daerah terkesan akibat banjir berterusan.
Pihak berkuasa telah membuka dua pusat pemindahan dan satu pusat agihan bantuan bagi membantu mangsa terjejas.
“Disebabkan hujan lebat di beberapa daerah di Assam, paras air sungai meningkat melebihi paras bahaya dan terus menunjukkan trend meningkat menyebabkan amaran banjir dikeluarkan di kawasan berisiko,” menurut kenyataan ASDMA. “Hujan sangat lebat dijangka berterusan dalam tempoh dua hingga tiga hari akan datang.”
Laporan turut menyebut bahawa amaran merah masih berkuat kuasa di 18 daerah di negeri itu susulan angin kencang dan hujan lebat berterusan.
Di negeri jiran Mizoram, beberapa individu dikhuatiri maut selepas lima rumah dan sebuah hotel musnah akibat tanah runtuh di Pekan Lawngtlai.
Menurut penyiar rasmi India, All India Radio, pihak berkuasa sedang melaksanakan operasi menyelamat bagi mengesan mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan.
Mizoram dilaporkan mengalami hujan lebat sejak Jumaat, mengakibatkan beberapa kejadian tanah runtuh dan jatuhan batuan.
Di Meghalaya, tiga orang maut di Daerah East Khasi Hills akibat insiden berkaitan hujan.
Lebih 1,000 penduduk dari 25 kampung terjejas akibat tanah runtuh, banjir kilat dan gangguan bekalan elektrik. Beberapa jalan rosak dan sekolah turut dinaiki air di daerah yang terjejas.
Nagaland dan Tripura masing-masing melaporkan satu kematian akibat insiden berkaitan hujan pada Jumaat.
Sementara itu, di negeri utara Uttarakhand, seorang lelaki berusia 38 tahun maut dan lima lagi cedera selepas kenderaan mereka ditimpa tanah runtuh di Lebuhraya Nasional Kedarnath berhampiran Kund di Daerah Rudraprayag.
Di negeri Karnataka di barat daya, sekurang-kurangnya tujuh orang maut akibat insiden berkaitan hujan. Hujan lebat berserta angin kencang melanda daerah pesisir Dakshina Kannada yang bersempadan dengan Kerala.
Menurut Jabatan Meteorologi India (IMD), hujan lebat berserta angin kencang dijangka berterusan di Daerah Dakshina Kannada dan Kodagu sehingga Isnin.