• 2025-10-15 11:00 AM

KUALA LANGAT: Sebanyak 20,000 kenderaan perdagangan telah memasang peranti had kelajuan sejak penguatkuasaan fasa pertama dilaksanakan bermula 1 Oktober lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Datuk Aedy Fadly Ramli berkata statistik itu menunjukkan pengusaha kenderaan perdagangan semakin cakna terhadap pematuhan aspek keselamatan.

Beliau menyatakan jumlah kenderaan yang tampil membuat pengesahan meningkat daripada 3,000 kepada 20,000 dalam tempoh 10 hari pertama penguatkuasaan.

Aedy Fadly berkata pihaknya telah mengeluarkan notis untuk kenderaan tanpa SLD kepada 4,012 unit kenderaan.

Angka peningkatan itu menunjukkan perkembangan positif terhadap pematuhan arahan bagi memastikan tahap keselamatan jalan raya.

Peningkatan itu juga membuktikan hebahan dan advokasi berterusan JPJ serta operasi SLD secara besar-besaran mencapai objektif disasarkan.

Bagaimanapun tindakan kompaun dan siasatan lanjut akan diambil terhadap pengusaha yang gagal mematuhi arahan tersebut.

Tindakan susulan termasuk merujuk kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat bagi kes-kes tertentu.

Pemasangan dan fungsi sepenuhnya SLD diwajibkan untuk kenderaan perdagangan tahun keluaran 2015 dan ke atas.

Sekiranya gagal mematuhi JPJ akan mengeluarkan notis 114 untuk hadir semula dalam tempoh 10 hari bagi membuat pengesahan.

Operasi khas JPJ Selangor telah dijalankan dari jam 8 malam hingga 12 tengah malam dengan penyertaan pegawai-pegawai kanan. – Bernama