• 2025-07-01 05:26 PM

KUALA LUMPUR: Seramai 222 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) disahkan menghidap HIV pada tahun lepas, dengan majoriti kes melibatkan golongan muda berusia 18 hingga 19 tahun.

Data itu dikongsi Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni dalam sidang media hari ini.

Jumlah kumulatif jangkitan HIV dalam kalangan pelajar IPT bagi tempoh lima tahun (2020-2024) mencecah 1,091 kes.

“Ini menunjukkan aktiviti berisiko bermula lebih awal, dan langkah pencegahan seperti Profilaksis Pra-Pendedahan (PrEP) perlu diperluas,“ jelas Lukanisman.

Beliau mengakui cabaran utama ialah kekangan undang-undang yang memerlukan kebenaran ibu bapa untuk ujian dan rawatan HIV bagi remaja bawah umur.

“Keperluan persetujuan ibu bapa menyukarkan remaja tampil secara sukarela,“ katanya.

Dr Fazidah Yuswan dari KKM pula mendedahkan 29,941 individu dijangkiti HIV masih belum dikenal pasti.

“Kami tingkatkan saringan komuniti dan galakkan penggunaan kit ujian kendiri HIV melalui NGO dan Majlis AIDS Malaysia,“ jelasnya.