Mahkamah Persekutuan tetapkan 27 Ogos bagi rayuan Paul Yong terhadap sabitan dan hukuman penjara lapan tahun atas kes rogol.

  • 2025-06-20 09:54 PM

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menetapkan 27 Ogos sebagai tarikh mendengar rayuan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh Paul Yong Choo Kiong terhadap sabitan dan hukuman penjara atas pertuduhan merogol pembantu rumahnya.

Peguamnya Datuk Hisyam Teh Poh Teik mengesahkan kepada Bernama mengenai tarikh pendengaran itu, susulan pengurusan kes yang diadakan hari ini. Turut mewakili Yong ialah peguam Datuk Rajpal Singh.

Yong merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkan beliau atas kesalahan merogol pembantu rumah warga Indonesianya berusia 23 tahun.

Mahkamah Tinggi pada Julai 2022 menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun ke atas Yong, namun Mahkamah Rayuan pada Mac tahun lepas mengurangkan hukuman tersebut kepada lapan tahun.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bilik di rumahnya di Ipoh, antara 8.15 malam hingga 9.15 malam pada 7 Julai 2019.

Mahkamah Rayuan menerusi keputusan majoriti 2-1, menolak rayuan Yong terhadap sabitannya namun mengurangkan hukuman penjaranya kepada lapan tahun, bersama dua sebatan.

Bagaimanapun, mahkamah rayuan membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Persekutuan dan Yong dibebaskan dengan jaminan RM30,000 bersama seorang penjamin serta diarahkan menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Pada Mac tahun ini, Mahkamah Tinggi di Ipoh, Perak menolak permohonan Yong untuk mengemukakan keterangan tambahan dalam rayuannya.

Seorang peguam kepada pembantu rumah berkenaan telah memberi keterangan di Mahkamah Tinggi bahawa wanita itu telah menarik balik dakwaan rogol terhadap Yong melalui satu akuan berkanun yang dibuat dan disahkan di Indonesia.