NILAI: Sebanyak 40% topi keledar yang ditukar menerusi program Pertukaran Topi Keledar Percuma di Program MADANI Rakyat (PMR) di Dataran Nilai tidak mematuhi piawaian ditetapkan.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan Hanif Yusabra Yusuf berkata antara topi keledar dikesan tidak mematuhi piawaian ialah tiada cop SIRIM, retak, tiada span dan topi keledar separuh yang masih digunakan.
Beliau berkata pemakaian toli keledar yang sempurna sangat penting bagi mengurangkan kecederaan apabila berlakunya sesuatu kecelakaan.
“Kebanyakan kes kemalangan maut berpunca daripada kecederaan di kepala, jadi pakailah topi keledar dengan sempurna yang mempunyai cop SIRIM dan mematuhi piawaian ditetapkan, sekurang-kurangnya ia mengurangkan risiko kematian,“ katanya kepada Bernama.
Terdahulu, JPJ negeri dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan menyediakan 3,000 unit topi keledar dewasa untuk tiga hari dan 700 botol minyak hitam untuk dimanfaatkan kepada penunggang motosikal yang ingin membuat pertukaran minyak hitam secara percuma. – Bernama