ALOR GAJAH: Sebanyak 500 kilogram (kg) sisa plastik dikutip di lima zon sepanjang pesisir pantai dan tepi jalan Kuala Sungai Baru (KBS) pada Program Santuni MADANI Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) @ KBS siri kedua di sini hari ini.

Program gotong-royong berkenaan diketuai Ketua Setiausaha KPT Datuk Seri Dr Zaini Ujang dan disertai kira-kira 500 sukarelawan dalam kalangan pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Islam Melaka (UNIMEL), Politeknik Melaka, Politeknik Port Dickson, Kolej Komuniti Masjid Tanah, pegawai dan kakitangan KPT serta penduduk setempat.

Zaini berkata Program Santuni MADANI Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) @ KBS bertujuan meningkatkan kesedaran awam tentang pengumpulan dan pengurusan sampah serta membantu mengindahkan kawasan berkenaan yang menjadi tumpuan pelancong.

“Program ini memberi tumpuan di kawasan tiada petugas pembersihan yang dilantik pihak berkuasa tempatan untuk melakukan kerja-kerja pembersihan sebaliknya tugas berkenaan dilakukan penduduk setempat.

“Pada setiap hujung minggu, tidak kurang 1,000 pengunjung beriadah di sepanjang pesisir pantai KBS dan pelbagai sisa sampah ditinggalkan di kawasan berkenaan,“ katanya kepada pemberita selepas program berkenaan.

Program berkenaan turut disertai Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Rosli Abdullah.

Mengulas lanjut, Zaini berkata secara keseluruhan, Program Santuni MADANI Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) @ KBS siri satu dan dua telah berjaya mengumpulkan kira-kira 800 kg sisa plastik di kawasan.

Beliau berkata menerusi program itu juga, satu kajian berkaitan pengurusan sisa pepejal yang lebih sistematik di kawasan KBS akan dilaksanakan dengan kerjasama institusi pengajian tinggi terlibat selain membantu peserta atau penduduk setempat menjana pendapatan tambahan melalui aktiviti kitar semula.

Program Santuni MADANI Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) @ KBS akan diadakan lebih kerap sehingga akhir tahun bagi memastikan impak penganjurannya dalam memastikan kebersihan dan keindahan kawasan berkenaan tercapai.

“Kita harapkan program ini bukan sahaja memberi impak kepada alam sekitar tetapi juga membentuk masyarakat yang mementingkan kebersihan sekali gus menyelesaikan masalah di kawasan terlibat,“ katanya.

Pada 6 Julai lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Jemaah Menteri dan Ketua Setiausaha Negara supaya memilih kampung asal atau kampung lain untuk dijadikan kampung angkat bagi memastikan pembangunan tidak tertumpu di kawasan bandar sahaja.

Santuni MADANI ialah satu kaedah meningkatkan potensi kampung dan keupayaan masyarakat melalui pemantauan secara langsung serta libat urus bagi mengenal pasti masalah sosioekonomi dan keperluan penduduk di kampung berkenaan.