MELAKA: Sebanyak 5.03 juta hektar atau 89.6 peratus kawasan tanaman sawit di Malaysia telah disahkan di bawah pensijilan Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) setakat 30 Jun.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Fong Hin berkata pencapaian itu menunjukkan komitmen berterusan industri sawit negara dalam memastikan pematuhan kepada amalan perladangan mampan selaras dengan piawaian antarabangsa.
“Inisiatif pensijilan MSPO menggariskan piawaian ketat bagi memastikan syarikat perladangan dan pekebun kecil tidak terbabit dalam amalan buruh paksa. MSPO memerlukan pihak yang disijilkan mematuhi Akta Kerja 1955 yang melarang pekerja dipaksa bekerja tanpa kerelaan,“ jelasnya semasa merasmikan Program Know Your Rights, Do It Right Siri 1/2025.
Program itu dilaksanakan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) bagi memberikan maklumat jelas mengenai isu perburuhan sektor perladangan, terutamanya melibatkan tenaga kerja asing.
Chan menekankan lebih 75 peratus daripada 280,000 pekerja ladang sawit adalah warga asing, dengan Indonesia sebagai penyumbang utama diikuti Bangladesh, India, dan Nepal.
“Kebergantungan tinggi terhadap pekerja asing boleh menimbulkan risiko seperti eksploitasi dan sekatan perdagangan jika wujud bukti buruh paksa. KPK mengambil inisiatif seperti program ini bagi mengatasi cabaran penggajian pekerja asing,“ tambahnya. – Bernama