• 2025-07-02 09:47 AM

JOHOR BAHRU: Seramai 55 calon daripada pelbagai daerah di Johor disaring hari ini bagi menerima manfaat Rumah Kasih Johor (RKJ), satu inisiatif kerajaan negeri yang menawarkan rumah percuma kepada golongan memerlukan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata daripada jumlah itu, 36 calon disokong, 18 ditolak, dan satu permohonan ditangguh untuk penelitian lanjut.

Pemilihan dibuat melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan RKJ 2025 Bil. 2/2025 yang dipengerusikan beliau hari ini. Pembentangan melibatkan tujuh Pejabat Daerah iaitu Batu Pahat, Mersing, Kota Tinggi, Kulai, Pontian, Johor Bahru, dan Kluang.

“Mesyuarat ini menunjukkan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan proses pemilihan adil dan telus. Kita bukan hanya melihat aspek pentadbiran, tetapi turut menilai dengan empati supaya rumah ini benar-benar membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Antara kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) terlibat termasuk Machap, Kota Iskandar, Johor Jaya, Tiram, Mahkota, dan beberapa lagi. Turut hadir dalam mesyuarat ialah ADUN Kota Iskandar Datuk Pandak Ahmad dan ADUN Penawar Fauziah Misri.

Kerajaan Johor memperuntukkan RM67 juta untuk membina 500 unit rumah percuma melalui RKJ dari 2022 hingga 2026, dengan keutamaan kepada penduduk luar bandar.

Bagi tahun 2023, sebanyak 50 unit rumah bernilai RM6.5 juta telah disiapkan dan diserahkan. Pada 2024, 120 unit sedang dibina dengan kos RM17 juta, di mana 71 unit siap Jun lalu dan baki 49 dijangka siap Disember ini.

Tahun ini, 165 unit bernilai RM22 juta dalam proses siasatan teknikal, dengan pembinaan fasa pertama bermula 15 Mei lalu.

Inisiatif RKJ dilaksanakan bersama Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor, selaras dengan matlamat menjadikan Johor negeri paling sejahtera dan inklusif menjelang 2030.