KUALA LUMPUR: Sebanyak 6,369 kes kemalangan dicatatkan dalam tempoh empat hari pelaksanaan Op Lancar bermula 6 hingga 9 Jun lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata angka itu menunjukkan peningkatan sebanyak tiga peratus atau 181 kes berbanding tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata sebanyak 58 kemalangan maut direkodkan tahun ini, berbanding 84 kes pada tahun lepas, iaitu penurunan sebanyak 26 kes.

“Jumlah kematian juga mencatatkan penurunan kepada 78 kes, berbanding 88 kematian dalam tempoh sama tahun lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Yusri berkata daripada jumlah keseluruhan kemalangan, sebanyak 6,120 kes melibatkan kerosakan kenderaan, meningkat sedikit berbanding 5,854 kes tahun lepas.

“JSPT komited dalam penguatkuasaan undang-undang bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin dan peraturan lalu lintas dipatuhi oleh semua pihak.

“Pengguna jalan raya yang berdisiplin serta mengamalkan sikap bertanggungjawab dapat membantu meminimumkan risiko kemalangan, selain mencapai sasaran pengurangan statistik kematian dan kecederaan di jalan raya,” katanya.