Your Title

KUALA LUMPUR: Sebanyak 652 kemalangan melibatkan kenderaan berat seperti lori kontena, lori kecil dan bas ekspres dilaporkan pada suku pertama tahun ini, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata daripada jumlah itu, 287 direkod maut manakala cedera parah (95) dan cedera ringan (270).

“Untuk makluman, kemalangan yang melibatkan kenderaan berat di Malaysia adalah berpunca dari, kecuaian pemandu yang mengantuk, memandu melebihi had laju yang dibenarkan, kenderaan yang membawa lebih muatan dan kenderaan yang tidak diselenggara dengan baik,” katanya pada sesi Soal Jawab Lisan.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaaan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) yang ingin tahu mengenai statistik kemalangan melibatkan kenderaan berat pada suku pertama tahun ini serta tindakan bagi mengurangkan kemalangan.

Hasbi berkata Kementerian Pengangkutan melalui agensinya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sentiasa melaksanakan kajian dari semasa ke semasa berhubung strategi yang terbaik bagi menangani isu kenderaan berat yang tidak mematuhi peraturan sehingga menyebabkan kemalangan di jalan raya.

“Antara tindakan utama yang dilaksanakan bagi menangani isu ini adalah dengan menggiatkan aktiviti-aktiviti penguatkuasaan oleh pihak JPJ melibatkan peraturan had muatan kenderaan dan had laju bagi kenderaan berat selain mengoperasikan 53 Stesen Penguatkuasa (atau stesen timbang) di seluruh negara, JPJ juga dibekalkan dengan 75 unit alat timbang mudah alih bagi tujuan penguatkuasaan,” katanya.

Beliau berkata bagi tahun lepas, sejumlah 45,015 notis saman dikeluarkan membabitkan kesalahan muatan bahaya dan lebih muatan manakala bagi sehingga April lepas, sejumlah 9,214 notis saman dikeluarkan.

Hasbi berkata Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kerja Raya juga dalam proses akhir membangunkan sistem “High Speed - Weigh in Motion” atau HS-WIM bagi membolehkan aktiviti penguatkuasaan kenderaan berat dilaksanakan secara masa sebenar dan automatik tanpa memerlukan kenderaan berhenti untuk ditimbang.

Beliau berkata sistem HS-WIM dijangka dapat memperluaskan capaian, meningkatkan pematuhan dan memperkukuhkan lagi keberkesanan penguatkuasaan ke atas peraturan had muatan kenderaan serta menjadi penyelesaian jangka masa panjang dalam menangani isu had muatan kenderaan berat.

Menjawab soalan tambahan Syeh Noh mengenai tindakan yang diambil bagi isu kenderaan berat berhenti di tepi lebuh raya berhampiran kawasan rehat dan rawat (R&R), Hasbi berkata saman dikeluarkan kepada mereka yang memakir kenderaan di kawasan tidak dibenarkan.

“Kita harap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan pengendali Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) untuk jangka masa panjang supaya mengadakan atau membina lot parking lori ini lebih banyak lagi di kawasan R&R,” katanya.