IPOH: Sejumlah 6,619 kes jenayah komersial direkodkan di Perak melibatkan kerugian melebihi RM68.5 juta dari Januari hingga 31 Julai lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata jumlah itu menurun sebanyak 12.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas iaitu 7,586 kes.

“Untuk tempoh sama juga sebanyak 613 kertas siasatan dituduh di mahkamah berbanding 589 pertuduhan pada 2023,“ katanya kepada pemberita selepas sesi Bual Bicara Jenayah dan Buli Siber, Bijak Bertindak sempena Bazar Buku Perak di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC) di sini hari ini.

Beliau berkata bagi tempoh sama sebanyak 1,407 kes penipuan dalam talian dilaporkan membabitkan kerugian lebih RM55.3 juta, diikuti tipu secara bersemuka sebanyak 60 kes dengan kerugian RM1.9 juta.

Azizi berkata kewujudan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) memberi kesan yang baik kepada penurunan kes dan diharap masyarakat akan lebih peka serta ambil tahu tentang penipuan termasuk penipuan dalam talian.

“Orang ramai boleh membuat panggilan pada nombor 997 untuk mendapatkan maklumat dan kesahihan panggilan bagi sebarang transaksi yang meragukan,” katanya.