MCMC-JaPen kerjasama beri pendedahan ancaman keselamatan dalam talian

GUA MUSANG: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Jabatan Penerangan (JaPen) mengadakan program khas bertujuan memberi pendedahan mengenai salah guna media sosial dan ancaman keselamatan dalam talian kepada orang ramai.

Program itu bersempena penganjuran Program Budi MADANI@JaPen di Dataran Rancangan Kemajuan Tanah Kesedar Sungai Asap di sini semalam.

Menerusi sesi penerangan dan aktiviti interaktif di reruai serta pocket talk, orang ramai diberi kesedaran tentang pentingnya penggunaan media sosial secara positif, produktif dan bertanggungjawab.

Sesi itu turut memberi penerangan mengenai akibat penyalahgunaan media sosial yang boleh memudaratkan sehingga menjadi kesalahan jenayah seperti penipuan, hasutan, ugutan dan penyebaran maklumat palsu.

Pada sesi pocket talk itu, Pengarah Eksekutif Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) Ratna Sha’erah Kamaluddin berkata sebanyak 29,535 kes penipuan dalam talian direkodkan sepanjang 2023.

Ratna Sha’erah berkata antara jenis penipuan yang direkodkan ialah pancing data, panggilan telefon, percintaan dan e-dagang.

Beliau berkata untuk kes membabitkan penipuan panggilan telefon yang banyak berlaku, mangsa dihubungi secara rawak dan diberitahu mereka mempunyai tunggakan saman, bayaran bil perubatan dan penghantaran bungkusan.

“Mereka (individu terlibat dengan penipuan) adalah terlatih bagi memanipulasi mangsa dari segi emosi untuk mencetuskan rasa takut dan panik serta memperdaya sehingga mereka (individu yang ditipu) menyerahkan wang atau maklumat sulit,” katanya.

Beliau berkata sesi penerangan dan pocket talk ini satu langkah baik bagi mempersiapkan orang awam dengan tip penting perlindungan diri daripada pelbagai ancaman dalam talian.

Program berkenaan dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri Galas Syahbuddin Hashim dan turut dihadiri Pengarah JaPen Kelantan Muhd Nor Aswadi Md Nor dan Pengarah Negeri MCMC Kelantan Hairudin Mohd Zin.

Dalam pada itu, seorang pengunjung Wan Latifah Ab Rashid, 43, berkata perkongsian sesi pocket talk itu dapat membuka mata orang ramai agar cakna terhadap risiko penggunaan telefon pintar pada masa kini.

“Banyak info menarik dan pengajaran yang dapat saya peroleh melalui pendedahan tentang bahaya dan risiko penipuan dalam talian,” katanya.

Pada Program Budi MADANI@JaPen itu, produk-produk yang dihasilkan usahawan tempatan turut diketengahkan selain sesi pameran di reruai MCMC dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta Program Jualan Rahmah MADANI bergerak.