BANTING: Seramai 68 penunggang motosikal Konvoi Semarak Merdeka TEKUN berjaya menamatkan misi menjelajah negara dengan selamat di Dataran Pantai Morib sempena Karnival TEKUN MADANI Kuala Langat.
Pengerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid menyatakan konvoi yang disertai pegawai dan usahawan TEKUN Nasional itu memulakan perjalanan merentasi negeri-negeri di Malaysia sejak 10 Ogos lepas bermula dari Sabah.
Beliau menjelaskan konvoi ini merupakan simbolik memperingati dan meraikan Hari Kebangsaan ke-68 di peringkat kebangsaan termasuk turun padang bertemu masyarakat serta warga kerja TEKUN Nasional di seluruh negara.
“Secara ringkasnya, acara ini satu daripada program sambutan Merdeka yang menggabungkan semangat patriotik dengan aktiviti kebajikan dan penyatuan masyarakat,” katanya.
Abdullah Sani telah menyempurnakan gimik perasmian Karnival TEKUN MADANI Kuala Langat dan menyambut ketibaan 68 peserta Konvoi Semarak Merdeka TEKUN sebagai acara tumpuan dalam konsert Merdeka.
Konsert yang berlangsung di Dataran Pantai Morib diserikan dengan persembahan artis terkenal tanah air termasuk Ratu Rock Negara Ella, Ukays Reborn dan Band TEKUN Nasional.
Abdullah Sani memaklumkan hasil jualan usahawan TEKUN sempena karnival tersebut berjaya meraih 1.85 juta ringgit sepanjang dua hari penganjuran.
Beliau berkata sejak 27 tahun lepas, TEKUN Nasional telah menyalurkan 10.5 bilion ringgit kepada 602,059 usahawan di seluruh negara termasuk Selangor yang menerima 1.4 bilion ringgit.
Bagi tahun 2025 setakat Julai, TEKUN Nasional menyalurkan 583 juta ringgit kepada 22,392 usahawan di seluruh negara termasuk 2,684 usahawan di Selangor.
Menariknya, 4.9 bilion ringgit daripada jumlah keseluruhan disalurkan kepada 474,314 usahawan wanita, menunjukkan sokongan signifikan terhadap wanita dalam bidang keusahawanan. – Bernama