KUALA LUMPUR: 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd telah melantik Tan Sri Mohd Annuar Zaini sebagai pengerusi bebas dan bukan eksekutifnya yang baharu berkuat kuasa segera.
Mohd Annuar, 73, menggantikan Datuk Farhash Wafa Salvador, yang telah meletak jawatan pada 30 Mei lepas, sehari selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu.
7-Eleven melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata Mohd Annuar adalah seorang penjawat awam dan tokoh korporat dengan lebih dari 40 tahun pengalaman.
Pada masa sekarang, ia berkhidmat dalam lembaga pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) serta pengerusi beberapa firma seperti Country Annex Sdn Bhd, MRCB Land Sdn Bhd dan UDA Holdings Bhd, selain selaku penasihat kanan hal ehwal antarabangsa,Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.