Your Title

PUTRAJAYA: Sebanyak 94 syarikat berstatus ‘Authorised Economic Operator’ (AEO) di negara ini sejak ia dilaksanakan pada tahun 2010, kata Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir (gambar).

AEO adalah operator yang mendapat kelulusan daripada atau bagi pihak kastam setelah disahkan mematuhi piawaian keselamatan rantaian bekalan di bawah Rangka Kerja Piawaian SAFE untuk Dagangan Global Selamat dan Mudah oleh Pertubuhan Kastam Sedunia (WCO) yang meliputi pengilang, pengeksport, ejen pembawa, pemukal dan perantara.

Abdul Latif dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sempena Majlis Penyerahan Emblem kepada syarikat berstatus AEO hari ini berkata syarikat berstatus AEO bertanggungjawab untuk sentiasa mengekalkan tahap pematuhan yang tinggi selaras dengan apa yang telah diikrarkan dalam ‘Compliance Checklist’.

“JKDM akan terus komited dalam memastikan tahap pematuhan syarikat berada di landasan yang betul dan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk penyelewengan,“ katanya.

Abdul Latif berharap lebih banyak syarikat akan menyertai program AEO itu agar memberi impak yang positif bukan sahaja bagi meningkatkan tahap pematuhan dalam aktiviti import dan eksport, ia juga dapat memastikan rantaian bekalan perdagangan global lebih selamat dan lancar. - Bernama