KUANTAN: Seramai 99 warga asing termasuk 85 wanita ditahan menerusi enam serbuan di premis hiburan di sini awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Imigresen Pahang Nursafariza Ihsan berkata kesemua mereka diberkas selepas pihaknya melakukan pemeriksaan ke atas 369 individu dalam operasi yang bermula pada 1 pagi itu.

Beliau berkata mereka yang ditahan membabitkan warga Thailand, Laos, Bangladesh, Yaman, dan China, berusia lingkungan 25 tahun hingga 40-an.

Kebanyakan warga asing wanita yang ditahan bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) yang ditempah menerusi pelbagai platform, antaranya aplikasi WeChat.

“Mereka yang ditahan ini disyaki salah guna permit kerana selepas pemeriksaan kita mendapati kebanyakannya pemegang permit di sektor pembinaan dan pembersihan selain ada juga hanya memiliki pas lawatan sosial,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata kesemua tangkapan dibawa ke Depot Imigresen Kemayan, Bera, untuk siasatan lanjut, antaranya mengikut Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.