• 2025-07-11 12:20 PM

MARANG: Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan akan mempertahankan jawatan Presiden PAS pada pemilihan Muktamar Pas ke-71 di Kedah, September ini.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata beliau tidak berhasrat melepaskan jawatan presiden yang disandangnya selama lebih 20 tahun itu.

Beliau yang menjalani prosedur rawatan di Institut Jantung Negara pada pertengahan Jun lepas berhasrat untuk terus berkhidmat kepada parti sehingga akhir hayatnya kerana keadaan kesihatannya masih baik.

“Saya kalau boleh nak mati dalam bertugas. Saya sihat ... alhamdulillah, masih sihat,“ kata pemimpin berusia 77 tahun itu ketika ditemui pemberita selepas Kuliah Dhuha di Masjid Rusila hari ini.

Mengulas mengenai kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Abdul Hadi berkata perkara itu akan dibincangkan dengan parti gabungan dalam PN kerana jawatan pengerusi PN bukan ditentukan oleh PAS sahaja.

Sebelum ini, timbul desas-desus mengatakan terdapat desakan untuk PN mempunyai pengerusi yang baharu, namun dakwaan itu dinafikan oleh Muhyiddin sendiri - BERNAMA