JOHOR BAHRU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang hari ini.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi mengesahkan perkara berkenaan dalam hantaran di laman Facebooknya.

“Saya berasa amat sedih apabila menerima perkhabaran duka tentang pemergian‎ ADUN Mahkota Datuk Sharifah Azizah Syed Zain.

“Pemergian Sharifah Azizah atau lebih mesra dengan panggilan Ummi amat dirasai kerana beliau merupakan seorang pemimpin yang senang didekati dan disayangi. Jasa dan bakti beliau untuk negeri Johor, khususnya DUN Mahkota tidak akan dilupakan,“ katanya.

Beliau turut mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Sharifah Azizah dan mendoakan roh Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.