• 2025-06-20 09:06 AM

KLANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri yakin cadangan pembinaan memorial empat tingkat berhampiran Masjid Kampung Raja Uda di sini akan ditolak oleh Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).

“Secara peribadi saya optimis MBDK akan menolak cadangan pihak pemaju kerana hari ini mereka gagal membentangkan serta membuktikan kesesuaian projek itu dijalankan di kawasan penduduk majoriti Melayu dan beragama Islam.

“Selain itu, cadangan berkenaan juga secara jelas tidak relevan memandangkan syarat zon guna tanah di bawah Rancangan Tempatan MBDK sehingga 2035 telah menyatakan tapak cadangan projek itu sebagai kawasan perniagaan terhad,“ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai sesi pendengaran awam berhubung pembangunan memorial itu melibatkan penduduk, pemaju dan Jabatan Perancang Bandar MBDK yang dikendalikan oleh Timbalan Datuk Bandar Mohd Zary Affendi Mohd Arif di bangunan MBDK di sini hari ini.

Azmizam yang mengetuai penduduk dalam membantah cadangan projek tersebut berkata berdasarkan undang-undang sedia ada, hanya 28 jenis perniagaan terhad sahaja boleh dijalankan di kawasan itu tanpa menyenaraikan apa-apa pembinaan bangunan berkaitan memorial.

Beliau juga memohon jaminan daripada MBDK untuk memastikan tiada aktiviti pembinaan di kawasan cadangan itu selagi tidak mendapat kelulusan sepertimana termaktub di bawah Seksyen 19 Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.

Nazir Masjid Kampung Raja Uda Ismail Arsat turut menzahirkan kebimbangan status kampung berkenaan sebagai sebahagian daripada Bandar Diraja akan tercalar dengan pembinaan memorial itu yang difahamkan akan berfungsi sebagai pusat pengurusan mayat.

Beliau berkata mercu tanda dan tarikan utama di kampung tersebut iaitu Masjid Raja Uda akan tercalar sekiranya memorial itu dibina di kawasan yang terletak hanya 83 meter dari masjid berkenaan.

Sementara itu, MBDK memaklumkan pihaknya akan mempertimbangkan bantahan serta cadangan kedua-dua pihak sebelum dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Setempat (OSC) pada 24 Jun ini untuk proses penilaian dan tafsiran.