• 2025-06-27 01:03 PM

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menyeru semua pemimpin masyarakat supaya tidak memanipulasi agama Islam untuk kepentingan politik peribadi. Titah Seri Paduka Baginda, urus tadbir kerajaan perlu berlandaskan syariat Islam, bukan fahaman sekular atau liberal.

“Saya ingin mengingatkan agar pemimpin masyarakat tidak mempolitikkan agama Islam untuk kepentingan peribadi. Sebaliknya, mengislamkan politik demi kepentingan negara,” titah Sultan Ibrahim semasa Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1447H/2025M di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.

Baginda menekankan Islam sebagai agama yang sempurna meliputi semua aspek kehidupan. “Janganlah ada pihak yang tunggang agama untuk kepentingan parti politik mereka atau sebar fitnah, menyebarkan fitnah dan kebencian yang akhirnya memecahbelahkan masyarakat,” tegas Seri Paduka Baginda.