AUCKLAND: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan memulakan lawatan kerja lima hari ke New Zealand bermula esok bagi memperkukuh hubungan dua hala yang terjalin sejak 68 tahun lalu.
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand, Mazita Marzuki, berkata lawatan ini memberi tumpuan kepada kerjasama dalam bidang pertahanan, pertanian, pendidikan dan industri halal.
“Lawatan ini melambangkan kesinambungan pertukaran lawatan peringkat tinggi antara Malaysia dan New Zealand,“ katanya.
Ahmad Zahid akan diiringi oleh pegawai kanan daripada Kementerian Luar, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah serta Jabatan Perdana Menteri.
Antara agenda utama termasuk pertemuan dengan Gabenor Jeneral Dame Cindy Kiro dan Timbalan Perdana Menteri David Seymour.
Beliau juga akan menyertai Forum Halal anjuran Kementerian Industri Utama New Zealand dan menyaksikan pemeteraian dokumen kerjasama pendidikan tinggi.
Lawatan ini turut melibatkan sesi libat urus dengan pemimpin perniagaan serta kunjungan ke Pusat Pengurusan Krisis Kebangsaan.
Mazita berkata lawatan ini selari dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dengan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’.
Lawatan terakhir pemimpin tertinggi Malaysia ke New Zealand adalah oleh Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2005. – Bernama