• 2025-07-16 11:36 AM

WELLINGTON: Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, meneruskan lawatan kerja rasmi ke New Zealand dengan fokus memperkukuh hubungan dua hala dalam pelbagai bidang.

Beliau memulakan hari ketiga lawatan dengan pertemuan bersama Menteri Pembangunan Maori, Tama Potaka, di Parlimen New Zealand. Pertemuan ini membincangkan dasar pembangunan komuniti pribumi serta potensi kerjasama dengan Malaysia dalam memperkasa komuniti Orang Asli.

Ahmad Zahid turut mengadakan mesyuarat dua hala bersama Timbalan Perdana Menteri New Zealand, David Seymour, diikuti penandatanganan surat hasrat (LOI) bagi memperluas kerjasama masa depan.

Selain itu, beliau melawat Masjid Kilbirnie dan berinteraksi dengan Persekutuan Persatuan Islam New Zealand (FIANZ) bagi mengeratkan hubungan dengan komuniti Islam tempatan.

Forum Halal yang diadakan di Perpustakaan Negara New Zealand menjadi platform penting untuk memperkukuh kerjasama dalam industri halal, khususnya eksport makanan dan pensijilan.

Ahmad Zahid juga menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang pendidikan tinggi, membuka peluang lebih luas kepada pelajar Malaysia melanjutkan pengajian di New Zealand.

Lawatan beliau dijadual berakhir pada Jumaat (18 Julai) selepas pertemuan dengan Menteri Pertanian, Perdagangan dan Pelaburan New Zealand serta lawatan ke Pusat Pengurusan Krisis Kebangsaan negara itu. - Bernama