GEORGE TOWN: Kementerian Kesihatan (KKM) melakukan pemeriksaan di 45,666 premis di seluruh negara dalam usaha memberi penguatkuasaan pendidikan berhubung Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) dari 1 Okt lepas hingga semalam.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata pemeriksaan itu dilaksanakan menerusi 2,697 operasi, dan sebanyak 57,856 penguatkuasaan pendidikan telah dijalankan setakat ini.

“Sebanyak 827 notis iaitu merokok di kawasan larangan dikeluarkan, 16 notis dikeluarkan kepada orang yang belum dewasa kerana menghisap rokok dan enam notis kepada premis yang tidak meletakkan papan tanda larangan merokok seperti ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap (Bebas) yang dijalankan serentak dengan Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Akta 852 Peringkat Negeri di Medan Renong dan Jalan Penang di sini hari ini.

Sebanyak 46 premis makanan di sekitar Kompleks Makanan Medan Renong dan Lebuh Light diperiksa, dengan 34 daripadanya mendapat pengiktirafan premis bersih dan selamat (BeSS).

Dalam pada itu, Lukanisman berkata KKM berharap pemilik premis akan mematuhi garis panduan yang ditetapkan dan mereka mempunyai masa mencukupi sebelum kerajaan menguatkuasakan larangan mempamerkan produk tembakau pada April tahun depan.

Beliau berkata KKM sedang giat menjalankan penguatkuasaan pendidikan kepada masyarakat dan pemilik-pemilik premis agar mereka bersedia untuk mematuhi peraturan berkaitan produk tembakau itu.

“Kita mendidik terlebih dahulu, tidak berlaku lagi yang kita keluarkan kompaun atau ambil tindakan kepada pemilik premis pada masa ini, dan kita akan jalankan sesi libat urus yang lebih komprehensif untuk menjelaskan kepada pemilik premis agar mereka bersedia mematuhi ketetapan berkaitan larangan mempamerkan produk tembakau ini.

Akta 852 mula dikuatkuasakan serentak dengan peraturan-peraturan serta perintah di bawahnya pada 1 Okt lepas melibatkan beberapa aspek seperti peruntukan penjualan produk merokok berbentuk permainan serta peruntukan melibatkan pengiklanan, promosi dan tajaan semua jenis produk merokok, selain tempat larangan penjualan merokok termasuk institusi pendidikan, pasar jualan, dalam talian dan mesin layan diri.