KUALA LUMPUR: Seorang pelajar tahfiz yang mengaku bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap anak petugas sebuah pusat pengajian tahfiz di Hulu Langat, Selangor pada April tahun lepas, diperintahkan bon berkelakuan baik selama dua tahun oleh Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini.
Majistret Normaizan Rahim memutuskan demikian selepas meneliti laporan akhlak remaja itu yang dikemukakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) semasa prosiding jatuh hukum kes berkenaan hari ini yang dijalankan secara tertutup.
Mahkamah turut memerintahkan pesalah juvana itu tidak lagi melakukan kesalahan sepanjang tempoh dua tahun, selain mengenakan wang cagaran RM3,000 dengan seorang penjamin bagi tempoh sama.
Selain itu, Normaizan juga mengarahkan remaja terbabit yang kini berusia 18 tahun menjalani bengkel interaktif anjuran JKM dengan syarat ibu bapanya dikehendaki menemani pesalah semasa bengkel diadakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang berusia 17 tahun ketika kejadian, telah melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa berusia 13 tahun lapan bulan, pada April 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.
Peguam A. Rahman Mohd Nasir yang mewakili remaja terbabit ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata antara rayuan pihaknya semasa prosiding ialah anak guamnya berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu, selain menerima tawaran melanjutkan pelajaran di kolej swasta dan dijangka memulakan pengajian bulan depan.
Timbalan Pendakwa Raya Norhidayah Abdullah Sani berkata pihak pendakwaan memohon hukuman berbentuk pencegahan mengambil kira faktor kepentingan awam dan keadaan mangsa yang trauma selepas kejadian itu.