SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, menegaskan insiden letupan saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April lalu tidak berpunca daripada kerja-kerja pengorekan menggunakan jengkaut.
Penjelasan itu diberikan semasa sesi penerangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.
Menurut Amirudin, siasatan oleh polis, Jabatan Mineral dan Gas (JMG), dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mengesahkan tiada kaitan antara kerja-kerja di atas tanah dengan kerosakan saluran gas.
“Paip saliran monsun yang terletak di atas paip gas tidak terjejas,“ jelasnya.
Beliau turut menafikan dakwaan bahawa syarikat pemaju menjalankan kerja tanpa kebenaran di kawasan seliaan Petronas Gas Berhad (PGB).
“Pemaju telah mendapat kebenaran untuk kerja-kerja tersebut pada 20 Mac 2025,“ katanya.
Amirudin juga menekankan bahawa Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) tidak melanggar kriteria kelulusan zon penampan.
“Zon penampan di Putra Heights melebihi syarat PGB sebanyak enam kaki,“ ujarnya.
Sebelum ini, Pengarah Bahagian Keselamatan Petroleum JKKP, Husdin Che Amat, menyatakan kelemahan struktur tanah di bawah paip sebagai punca utama insiden tersebut.
“Paip gas memenuhi spesifikasi teknikal, tetapi tanah di bawahnya tidak menyokong sepenuhnya,“ katanya. – Bernama