SINGAPURA: Tema utama Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 pada Rabu memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh integrasi ekonomi dalam kalangan negara anggota serta memperluas kerjasama dengan rakan dialog. Perbincangan ini menjadi lebih relevan berikutan peningkatan proteksionisme dan kemerosotan multilateralisme global.
Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan, menyatakan bahawa isu keterjaminan tenaga dan perdagangan elektrik rentas sempadan turut menjadi keutamaan. “Kami amat menantikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) mengenai Grid Tenaga ASEAN yang dipertingkat pada tahun ini serta kemajuan dalam Rangka Kerja Pembangunan Kabel Tenaga Dasar Laut,“ katanya dalam hantaran di Facebook.
MoU tersebut dijangka ditandatangani oleh negara anggota ASEAN semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga di Kuala Lumpur pada Oktober ini. Balakrishnan kini berada di ibu negara Malaysia bagi menghadiri AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan yang berlangsung dari 8 hingga 11 Julai di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025.
Beliau turut menyatakan bahawa ASEAN sedang menaik taraf Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN dan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) ASEAN-China, yang dijangka dimeterai pada tahun ini.
Mengenai penyertaan Timor-Leste ke dalam ASEAN pada Oktober ini, Balakrishnan menegaskan komitmen Singapura untuk menyokong integrasi negara tersebut melalui bantuan pembangunan dan pembinaan keupayaan. “Para Menteri Luar telah mengesahkan sokongan mereka terhadap penyertaan Timor-Leste semasa mesyuarat pada Rabu,“ jelasnya.
Di samping itu, beliau menekankan kepentingan pelaksanaan penuh Konsensus Lima Perkara berikutan situasi kritikal di Myanmar. “Semua pihak berkepentingan perlu terlibat dalam dialog bermakna bagi membantu menyelesaikan krisis ini,“ katanya. - Bernama