KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur menahan seorang anggota penguat kuasa semalam kerana disyaki meminta wang suapan sebanyak RM60,000 daripada seorang individu sebagai balasan bagi menutup kes melibatkan kesalahan menipu.

Sumber SPRM berkata lelaki berusia 40-an itu ditahan pada 11 malam di sekitar ibu kota.

Menurut sumber berkenaan suspek telah berjumpa individu itu di sebuah restoran di sini tetapi menghilangkan diri selepas mengarahkan individu itu menunggunya di lokasi tidak jauh dari restoran bagi menyerahkan wang rasuah yang diminta.

“Suspek bagaimanapun berjaya ditahan dan dilepaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin selepas keterangannya direkodkan,” kata sumber berkenaan kepada Bernama.

Pengarah SPRM Kuala Lumpur Datuk Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.