• 2025-10-07 06:33 PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama menyertai Himpunan Solidariti Bersama Gaza yang akan diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil, pada 8 malam esok.

Anwar berkata himpunan itu bagi menyuarakan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin bersama wira dan wirawati yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla baru-baru ini.

Beliau menyatakan keyakinannya bahawa dalam denyut nadi setiap anak Malaysia tersemat tekad untuk terus memperjuangkan keadilan dan keamanan sejagat.

Anwar mengajak rakyat berganding bahu dan bergerak sederap mengangkat suara demi Palestin yang merdeka, bermaruah dan berdaulat.

Beliau mengumumkan pertemuan pada esok malam di Axiata Arena melalui hantaran di Facebook hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman memaklumkan kesemua 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF dijangka tiba di tanah air 10 malam ini.

Khamis lepas, 23 aktivis rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF ditahan tentera rejim Zionis selepas kapal mereka dipintas di perairan Zon Merah di Laut Mediterranean.

Mereka dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel sebelum dibebaskan dan berlepas dari Lapangan Terbang Ramon, Israel pada 6.45 petang waktu Malaysia pada Sabtu.

Pesawat komersial Turkish Airlines yang diurus dan ditaja sepenuhnya oleh kerajaan Turkiye membawa mereka ke Istanbul pada 8.40 malam waktu Malaysia.

Antara rakyat Malaysia yang ditahan ialah penyanyi Heliza Helmi dan adiknya Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio.

Nurfarahin Romli dan Danish Nazran Murad menaiki kapal Grande Blu manakala penyanyi Zizi Kirana menaiki kapal Huga.

Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil menaiki kapal Alma sementara Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiruddin dan Rusydi Ramli menaiki kapal Sirius.

Razali Awang menaiki kapal Inana dan pempengaruh Nurul Hidayah Mohd Amin menaiki kapal Mikeno.

PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar dan Norazman Ishak menaiki kapal Estrella.

Zainal Rashid dan Ustaz Muhammad Abdullah menaiki kapal Fair Lady manakala Muhammad Hareez Adzrami, Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif menaiki kapal Free Willy.

GSF disertai lebih 500 aktivis dari 45 negara belayar menuju ke Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel.

Misi tersebut juga menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza yang terkepung. – Bernama