ABU DHABI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan lawatan hari kedua beliau ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan mengadakan pertemuan bersama tiga pengurus tertinggi Dana Kekayaan Berdaulat UAE di sini.
Mesyuarat Perniagaan yang diadakan secara langsung dimulakan dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Masdar Mohamed Jameel Al Ramahi, diikuti dengan Pengarah Urusan Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi Sheikh Hamed bin Zayed Al Nahyan dan Pengarah Urusan serta CEO Mubadala, Khaldoon Khalifa Al Mubarak.
Selepas mesyuarat tersebut, Anwar akan berlepas ke Dubai, kira-kira 150 kilometer dari sini, untuk mengadakan pertemuan dengan Timbalan Presiden dan Perdana Menteri UAE, Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum, yang juga Pemerintah Dubai.
Pertemuan itu akan berlangsung di Istana Za’abeel di Dubai.
Perbincangan dijangka memfokuskan kepada pengukuhan hubungan dua hala serta meneroka peluang dalam tenaga boleh diperbaharui, keselamatan makanan dan tenaga, kecerdasan buatan dan pusat data, serta isu serantau dan global yang menjadi kepentingan bersama.
Kunjungan Perdana Menteri ini adalah atas jemputan rakan sejawatannya dari UAE Sheikh Mohammed, bagi menghadiri Minggu Kelestarian Abu Dhabi di sini.
Anwar tiba di sini pada Ahad bagi lawatan kerja selama tiga hari ke UAE.