KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap Pakistan dan India dapat mencapai penyelesaian damai serta tuntas demi menjamin kestabilan dan keamanan serantau yang berpanjangan.

Menerusi perkongsian di Facebook hari ini, Anwar berkata hasrat itu disampaikan kepada Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif ketika beliau menerima panggilan telefon daripada pemimpin berkenaan yang sedang menunaikan ibadah haji.

“Saya mendoakan agar beliau dikurniakan haji mabrur serta mengucapkan Eid Mubarak (Selamat Hari Raya) kepada seluruh rakyat Pakistan,” katanya.

Pada masa sama, Anwar berharap lawatan rasmi Shehbaz ke Malaysia dapat dijadualkan semula apabila keadaan di Pakistan mengizinkan.

Perdana Menteri berkata Malaysia menantikan peluang untuk terus mengukuhkan hubungan dua hala yang strategik, saling menghormati dan membawa manfaat bersama.

Anwar juga menghargai ucapan tahniah yang disampaikan oleh Shehbaz atas kejayaan Malaysia menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 baru-baru ini.