• 2025-06-30 11:02 AM

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak pernah campur tangan dalam urusan institusi kehakiman, termasuk pelantikan hakim atau sebarang keputusan mahkamah. Beliau menekankan bahawa semua pelantikan dan penyambungan jawatan mesti mengikut prosedur yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kalau sudah faham Perlembagaan, sudah tahu proses dia. Ada suruhanjayanya, ada Perdana Menterinya, ada Yang di-Pertuan Agong,“ kata Anwar semasa perjumpaan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa pelantikan hakim baharu melibatkan proses yang telus, termasuk perbincangan dengan Majlis Raja-Raja. “Jadi semua hal itu harus diikuti,“ tambahnya.

Anwar turut mengkritik sebarang bentuk tekanan politik ke atas badan kehakiman, yang boleh menjejaskan integriti institusi tersebut.

“Saya rasa apabila institusi seperti ini dipolitikkan, keputusan yang dibuat mencerminkan seolah-olah berlaku pengkhianatan,“ ujarnya.

Beliau juga menegaskan bahawa keputusan mahkamah adalah hak mutlak badan kehakiman, dan beliau tidak pernah terlibat dalam sebarang keputusan kehakiman.

“Apa yang diputuskan (mahkamah) itu keputusan mereka, tetapi itu pun dipolitikkan,“ katanya.

Anwar turut menegur sikap masyarakat yang cenderung menilai keputusan kehakiman berdasarkan kecenderungan politik masing-masing. Beliau merujuk kepada beberapa kes berprofil tinggi baru-baru ini, termasuk keputusan berhubung kes Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kita kena hormat hakim dan keputusan yang dibuat. Saya tengok ada pandangan berbeza. Ada orang sokong DNAA (dilepas tanpa dibebaskan) di sini, tetapi tidak sokong di sana (bagi kes berlainan). Kita tidak boleh begitu,“ tegasnya.

Pada 20 Jun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan (DNAA) Najib daripada tiga pertuduhan membabitkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) berjumlah RM27 juta. Sementara itu, pada 25 Jun, Mahkamah Rayuan Putrajaya membebaskan Syed Saddiq daripada empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah.