• 2025-07-06 01:36 PM

KUALA LUMPUR: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dijangka mempertaruhkan lebih ramai atlet pelapis untuk membawa cabaran negara pada Sukan Para ASEAN (APG) 2025 yang akan berlangsung di Nakhon Ratchasima, Thailand dari 20 hingga 26 Jan depan.

Presiden MPM Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata langkah itu bertujuan menggilap bakat baharu sebagai persediaan menghadapi APG 2027 di Malaysia dan Sukan Paralimpik 2028 di Los Angeles (LA28).

“Persiapan untuk APG telah pun dibuat, dan persatuan sukan para kebangsaan juga sudah bersedia. Buat masa ini, kami sedang meneliti barisan atlet dan pasukan terbaik untuk diketengahkan.

“Majlis Sukan Negara (MSN) turut menyasarkan agar jurang (dengan negara pesaing) dapat diperluas, selain memberi ruang kepada atlet baharu. Insya-Allah, inilah bakal menjadi wajah masa depan untuk APG 2027 dan LA28,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penutup Bengkel Fasa 2 Memperkasakan Persatuan Sukan Para Kebangsaan yang disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) MSN, Arrifin Mohd Ghani di sini, hari ini.

Sementara itu, Arrifin yakin bengkel tiga hari yang bermula Jumaat lalu dapat membantu memperkukuh tadbir urus persatuan sukan para kebangsaan.

Katanya, tadbir urus yang baik secara tidak langsung akan melahirkan atlet para berwibawa yang mampu meneruskan legasi wira sukan para negara seperti Datuk Abdul Latif Romly (olahraga), Bonnie Bunyau Gustin (powerlifting) dan Cheah Liek Hou (badminton).