KUALA NERUS: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu menangkap seekor ular sawa batik sepanjang enam meter dengan berat kira-kira 120 kilogram (kg) di dalam parit di Kampung Gong Awang Lib di Mengabang Telipot dekat sini malam tadi.
Pegawai Pasukan APM Daerah Kuala Terengganu/Kuala Nerus Lt Muda Norulhaida Md Rashid berkata pihaknya menerima panggilan mengenai penemuan reptilia terbabit pada 8.30 malam, sebelum lapan anggotanya bergegas ke lokasi kejadian.
“Ular itu ditemukan orang kampung di dalam parit yang berhampiran dengan jalan. Anggota kita mengalami kesukaran untuk menangkap haiwan itu kerana selain saiznya yang besar dan panjang, ular itu juga bertindak agresif. Kita mengambil masa lebih kurang 30 minit untuk menangkapnya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Norulhaida berkata ular sawa batik berkenaan dibawa ke Balai APM Kuala Terengganu/Kuala Nerus untuk disimpan sementara diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu.
Sementara itu, seorang penduduk yang menjumpai haiwan berbahaya itu Mohd Fazrie Mohamad Fauzi, 35, berkata dia percaya dengan tertangkapnya ular sawa batik terbabit masalah kehilangan beberapa ekor lembu milik penternak di kampung itu akan selesai.
“Semalam, saya mendapati seekor lembu ternakan saya hilang, jadi saya pun keluar mencari di sekitar kawasan berkenaan sehinggalah saya terlihat ular sawa batik itu di dalam parit. Bulan lepas pun ada seekor anak lembu milik orang kampung ini hilang. Saya percaya anak lembu itu dibaham haiwan yang sama.
“Syukur ular sawa itu ditangkap kerana lokasi penemuannya juga dekat dengan kawasan penduduk dan parit ini kadang-kadang menjadi tempat kanak-kanak memancing,” katanya yang bekerja sebagai mekanik. - Bernama