PASIR MAS: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan menerima tambahan 900 kit makanan bagi menampung keperluan mangsa banjir di negeri ini yang meningkat sejak beberapa hari lepas.

Pengarah APM Kelantan Lt Kol (PA) Mohd Adzhar Mujab berkata bantuan itu untuk menambah kit makanan sedia ada berjumlah 3,500 sebelum ini yang telah diagihkan ke beberapa daerah terjejas banjir.

“Memandangkan jumlah mangsa banjir kian meningkat, APM mengambil inisiatif memohon tambahan kit makanan sekali lagi dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan mereka bersetuju menambah 900 lagi kit makanan.

“Kit makanan ini ialah inisiatif tambahan kepada mangsa banjir yang memerlukan selain bantuan yang diterima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan badan bukan kerajaan (NGO) lain,“ katanya kepada Bernama di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Kampung Padang Licin di sini hari ini yang menempatkan 63 mangsa.

Beliau berkata sejumlah 23 kit makanan telah diagihkan di PPS itu yang mengandungi makanan asas termasuk lauk sedia dimakan (ready to eat) yang hanya perlu dipanaskan dalam tempoh lima minit.

Mohd Adzhar berkata APM Kelantan telah menggerakkan kesemua 970 anggotanya di seluruh jajahan negeri ini sebagai langkah bersiap siaga membantu mangsa yang terjejas banjir.

“Kita dapati jajahan Pasir Mas merupakan kawasan yang paling terkesan setakat ini dengan peningkatan mangsa secara mendadak sejak semalam.

“Jadi, tumpuan kita akan ditingkatkan di kawasan ini bagi memastikan operasi berkaitan penyelamatan mangsa dapat dilakukan dengan lancar selain tidak mengabaikan kebarangkalian bencana sama di jajahan lain,“ katanya.

Setakat 11 pagi tadi, jajahan Pasir Mas merekodkan jumlah mangsa banjir paling ramai dipindahkan iaitu 2,881 mangsa di 10 PPS.–Bernama