Your Title

KUALA LUMPUR: ASEAN berada di landasan untuk muncul sebagai ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2030, namun memerlukan pertumbuhan inklusif bagi memastikan seluruh komuniti mendapat manfaat, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata walaupun pusat bandar utama seperti Kuala Lumpur, Bangkok dan Jakarta mempunyai paras Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang tinggi, banyak kawasan di seluruh ASEAN masih mengalami cabaran besar, termasuk akses yang terhad kepada elektrik, pendidikan dan peluang ekonomi.

“Pada masa ini kita merupakan ekonomi kelima terbesar, tetapi unjuran menunjukkan bahawa menjelang 2030, ASEAN mampu berada pada kedudukan keempat.

“Cabaran bukan sahaja untuk meraih pencapaian ini malah untuk memanfaatkan kekuatan ekonomi kita bagi memacu pembangunan mampan dan saksama kepada semua,“ katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Ekonomi Belia ASEAN (AYEF) 2025 di sini hari ini.

Nik Nazmi menekankan bahawa kemajuan ekonomi tidak seharusnya diukur hanya menerusi pertumbuhan KDNK keseluruhan, sebaliknya bagaimana ia dapat menambah baik kehidupan rakyat di seluruh ASEAN, terutamanya mereka yang berada di kawasan luar bandar dan kurang membangun.

“Tidak cukup sekadar berkata kita merupakan ekonomi keempat terbesar sekiranya masih banyak kekurangan akses kepada keperluan asas seperti pendidikan, elektrik dan peluang yang sama untuk wanita. Isu-isu ini juga perlu diberikan perhatian,“ katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Nik Nazmi berkata sekiranya ASEAN bertindak secara bebas dan bukan sebagai sebuah blok disatukan, rantau ini akan mempunyai impak yang terhad kepada hal ehwal global.

“Kita sedang berusaha, sebagai contoh, untuk bersatu sebagai blok ASEAN pada Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP 30) 2025 bagi menerima pakai pendirian berpadu mengenai perubahan iklim

“Apa-apa sahaja yang berkesan di Malaysia berkemungkinan besar akan berkesan dalam banyak keadaan -- walaupun tidak selalu -- di Indonesia, Singapura atau Filipina memandangkan kita berasal dari rantau yang sama, berkongsi persamaan budaya dan ekonomi serta mempunyai struktur yang serupa,” katanya.

AYEF 2025 yang diadakan bermula 14 hingga 16 Februari di Swiss Garden Hotel Bukit Bintang adalah platform kepada pemimpin muda dari ASEAN dan Jepun.

Menerusi tema “Perubahan Iklim dan Membina Ekonomi Berdaya Tahan Iklim,“ forum ini menghimpunkan pembuat dasar, pemimpin industri dan perwakilan belia untuk membincangkan strategi memperkukuh ketahanan ekonomi dalam menghadapi perubahan iklim.