KUALA LUMPUR: ASEAN telah mengemukakan satu pakej seimbang bagi Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India (AITIGA) dengan penuh percaya, sekali gus menunjukkan tekad blok ini untuk terus bekerjasama dengan India biarpun menghadapi pelbagai cabaran dan kritikan.
Pengerusi Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata dengan mengiktiraf peranan penting India dalam memperkukuh rantaian bekalan dan membuka peluang baharu maka ASEAN sekali lagi menegaskan komitmen untuk bekerjasama dengan India ke arah perjanjian yang moden, mesra perniagaan dan sedia masa depan.
“Melangkah ke hadapan, ASEAN mengekalkan tinjauan optimis bahawa melalui kerjasama yang membina dan kepercayaan bersama, AITIGA yang dipertingkatkan ini akan menjadi pemangkin kepada integrasi yang lebih kukuh, peningkatan aliran perdagangan serta kemakmuran bersama di rantau ini,” katanya pada sidang media akhir Mesyuarat AEM ke-57 dan Mesyuarat Berkaitan yang berakhir hari ini.
Semasa Perundingan AEM-India kali ke-22 yang berlangsung pagi tadi, Menteri Perdagangan dan Industri India Jitin Prasada berkata India menegaskan semula bahawa ASEAN kekal sebagai tonggak bagi dasar “Act East” dan visi Indo-Pasifik negara itu.
Dalam kenyataan berasingan, Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri berkata ASEAN turut menantikan permulaan rundingan bagi menaik taraf Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Korea (AKFTA) dalam masa terdekat.
Sementara itu, mengenai rakan luar ASEAN, beliau berkata ASEAN mengalu-alukan penguatkuasaan Protokol Kedua bagi Pindaan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-Australia-New Zealand (AANZFTA) bagi sembilan pihak, termasuk Australia dan New Zealand.
“Pencapaian ini mencerminkan keupayaan kita untuk memodenkan perjanjian supaya perjanjian ini kekal relevan dalam menghadapi realiti perniagaan yang sentiasa berubah.
“Kita juga mengambil maklum kemajuan berterusan yang dicapai dalam rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Kanada (ACAFTA) dan dijangka dimuktamadkan dengan pencapaian besar pada 2026,” katanya. – Bernama