JOHOR BAHRU: ASEAN berada di landasan untuk menjana ekonomi digital bernilai US$1 trilion menjelang 2030, dipacu golongan belia, bakat serta permintaan pasaran.
Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong menyatakan kelebihan rantau ini terletak pada saiz demografi, kesiapsiagaan digital dan potensi kreatif.
ASEAN dihuni 680 juta penduduk, menjadikannya pangkalan pengguna internet ketiga terbesar di dunia dengan lebih separuh penduduknya berusia di bawah 35 tahun.
“Angka ini memberi gambaran jelas ASEAN bukan sekadar mempunyai angka penduduk yang ramai malah juga golongan muda, bakat dan permintaan pasaran untuk menerajui ekonomi kreatif global,” katanya ketika ucaptama di Sidang Kemuncak Kandungan Digital ASEAN 2025.
Generasi muda ASEAN yang kreatif dan jati digital membesar dalam dunia berteknologi dan kini berada di barisan hadapan kepesatan ekonomi digital.
Ekonomi digital dijangka melonjak kepada US$1 trilion menjelang 2030 daripada US$300 bilion pada masa ini.
Dalam industri permainan video sahaja, Asia Tenggara menjana perolehan US$6 bilion pada 2024 sebagai pasaran permainan video berkembang paling pesat di dunia.
Industri animasi global bernilai US$400 bilion semakin mengiktiraf pencipta dari ASEAN.
Wilson Ugak mengingatkan bakat dan jumlah penduduk semata-mata tidak mencukupi tanpa kerjasama rentas sempadan untuk memaksimumkan impak ASEAN.
“Peluang besar hadir bersama dengan cabaran. Kreativiti secara sendirian hanya mengekang kejayaan dan tidak mencukupi untuk mencapai matlamat akhir.”
Dalam dunia masa kini, kandungan bukan sekadar hiburan malah kuasa besar yang mendorong perdagangan, pendidikan, diplomasi dan budaya.
“Kandungan membentuk naratif, menghubungkan masyarakat dan memacu ekonomi. Dalam landskap global, ASEAN menyerlah sebagai kuasa besar yang menawarkan peluang yang amat luas.”
Untuk bersaing di peringkat global, ASEAN mesti bersatu dengan berkongsi bakat, sumber dan platform untuk melonjakkan keberkesanan bersama.
Sidang Kemuncak Kandungan Digital ASEAN 2025 berfungsi sebagai platform mencetuskan idea, menempa kerjasama dan membentuk masa depan ekonomi kreatif ASEAN.
Acara ini menghimpunkan lebih 3,000 profesional industri dari Asia, Amerika Syarikat dan Eropah untuk memperkukuh ekosistem digital ASEAN.
Sidang kemuncak tiga hari itu mengetengahkan lebih 10 pavilion negara termasuk Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand, Jepun, Kemboja dan Vietnam.
Acara turut menampilkan 50 penceramah berpengaruh dan lebih 100 pempamer inovatif untuk orang ramai. – Bernama