KUALA LUMPUR: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) hari ini mengumumkan jaguh pecut negara Muhammad Azeem Fahmi telah dpilih mengisi tiket wild card untuk beraksi dalam acara 100 meter (m) di temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Azeem, 20, mengetepikan pelari 400m wanita negara Shereen Samson Vallabouy yang menjadi salah seorang calon untuk diberikan wild card ke Paris.

Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim ketika mengumumkan perkara itu pada sidang media khas di Parlimen berkata pemilihan Azeem, pemenang pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou 2022, dibuat berdasarkan slot tiket wild card ditawarkan oleh Olahraga Dunia hanya melibatkan acara100m, 800m dan maraton.

Berikutan itu, katanya, Azeem yang sememangnya atlet 100m dipilih berbanding Shereen, 25, yang merupakan pelari 400m pada mesyuarat pemilihan yang diadakan semalam.

“Sebelum ini kita ada dua tempat wild card (seorang lelaki, wanita) tapi pada Olimpik kali ini, hanya satu tempat dan kita tiada atlet bagi acara 800m dan maraton. Jadi kita terpaksa membuat keputusan berat ini berdasarkan tawaran acara itu.

“Saya berharap semua pihak melihat perkara ini secara positif...Sudah pasti siapa sahaja yang kita pilih, kita harap keputusannya positif untuk masa depan yang cemerlang,” katanya.

Beliau berkata, ini bukan pengakhiran buat Sheeren kerana masih berpeluang untuk mewakili negara pada temasya utama yang lain seperti Sukan SEA, Asia dan Komanwel pada tahun-tahun akan datang, selain berusaha untuk melayakkan diri ke Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Azeem adalah pemegang rekod kebangsaan 100m dengan catatan 10.09 saat (s) ketika melakukannya di Kejohanan Olahraga Bawah 20 Tahun Dunia di Colombia pada Ogos 2022.

Ditanya jika pihaknya ada mempertimbangkan Shereen beraksi dalam acara 800m, yang dianggap persaingannya lebih terbuka, Shahidan berkata agak sukar untuk atlet yang tidak terlatih bagi acara itu untuk bertanding menentang jaguh dunia.

Sementara itu, beliau juga berharap Azeem mampu bangkit kembali ke prestasinya sebenarnya, apabila tidak berada pada tahap terbaik sejak kebelakangan ini dengan terbaru sekadar mencatatkan 10.37s untuk meraih perak acara 100m di Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 di Malang, Indonesia, di belakang wakil tuan rumah Lalu Muhammad Zohri (10.19s), semalam.

“Kita kena ingat juga, Azeem masih muda, ada masa yang cukup memulihkan kembali prestasi terbaiknya. Harap keputusan ini dapat menaikkan semula semangatnya untuk meningkatkan prestasi.

“Walaupun Shereen tidak dipilih, saya harap dia akan terus menampilkan kehebatannya. Sudah pasti dia akan mencipta nama dengan lebih hebat,” katanya.

Kedua-dua atlet yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu adalah pemegang rekod kebangsaan dengan Shereen terpantas bagi acara 400m wanita dengan catatan 51.79s.

Keputusan itu menyaksikan kontinjen Malaysia kini lengkap dengan 26 atlet yang bakal membawa cabaran di Olimpik Paris 2024 bermula 26 Julai hingga 11 Ogos ini.