• 2025-06-23 02:40 PM

PUTRAJAYA: Tan Sri Dr Azmi Rohani dilantik sebagai Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara berkuat kuasa pada 1 Julai ini, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Shamsul Azri menerusi kenyataan hari ini berkata Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah memperkenankan pelantikan Azmi, 59, itu yang merupakan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor sejak 1 Jan 2017.

“Saya percaya dengan pengalaman yang luas dan kredibiliti beliau akan dapat memperkukuh pentadbiran di Istana Negara serta memainkan peranan sebagai Datuk Pengelola Bijaya Diraja dalam membantu dan menjunjung wewenang Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara,” katanya.

Azmi berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Pembangunan (Ekonomi dan Pengurusan) dari Universiti Kebangsaan Malaysia serta Sarjana Sains (Pembangunan Sumber Manusia) dan Ijazah Doktor Falsafah (Pentadbiran dan Pembangunan Tanah), kedua-duanya dari Universiti Teknologi Malaysia.

Beliau memiliki pengalaman luas dalam perkhidmatan awam selama 33 tahun dan memulakan kerjaya sebagai Penolong Pegawai Daerah di Pejabat Daerah Muar pada 1992.