KUALA LUMPUR: Legenda badminton negara Datuk Foo Kok Keong yakin Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan membuat percaturan terbaik sama ada menghantar skuad terkuat atau skuad pelapis ke Sukan SEA 2025 di Thailand pada Disember ini.
Beliau berkata keputusan muktamad terletak di tangan badan induk sukan itu sama ada lebih mengutamakan peluang meraih pingat emas atau memberi pendedahan awal kepada pemain muda.
Foo menekankan bahawa semangat juang dan semangat berpasukan adalah faktor penting untuk kejayaan dalam temasya tersebut.
Beliau berkata pengalaman menyertai kejohanan seperti Sukan SEA dan Sukan Asia adalah sangat berharga untuk pembangunan pemain.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis kerjasama Eco-shop dan Kelab Penyokong Sukan Famemas Malaysia yang akan menghantar skuad penyokong khas bagi memberi sorakan padu kepada kontinjen negara ke Sukan SEA 2025.
Olimpian negara yang pernah menyumbang pingat emas pada Sukan SEA 1991 di Manila itu berkata apa jua keputusan akan diambil BAM seharusnya disambut dengan keputusan positif oleh pemain terpilih dalam misi mengharumkan nama negara.
Sebelum ini BAM mengesahkan akan menghantar barisan pemain terkuat ke temasya dwitahunan itu dalam usaha memburu lebih banyak pingat emas.
Senarai akhir pemain dijangka diputuskan dalam masa terdekat menerusi mesyuarat bersama Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan BAM Rexy Mainaky.
Untuk rekod kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas pada Sukan SEA 2021 di Vietnam dalam acara beregu campuran menerusi Chen Tang Jie-Peck Yen Wei.
Pada edisi lepas di Kemboja pemain negara gagal menghadiahkan emas buat Malaysia sebaliknya hanya membawa pulang dua perak dan empat gangsa. – Bernama