MELAKA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka menyelamatkan dua lelaki warga Bangladesh yang terperangkap di atas bumbung rumah akibat banjir di Kampung Padang Kambing, Alor Gajah di sini petang tadi.

Jurucakap JBPM Melaka berkata pihaknya menerima panggilan pada 4.28 petang sebelum sembilan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah tiba di tempat kejadian kira-kira 20 minit kemudian.

“Setibanya di tempat kejadian, pasukan penyelamat mendapati dua lelaki warga Bangladesh berusia kira-kira 20-an terperangkap di atas bumbung rumah di kampung berkenaan bagi menyelamatkan diri akibat banjir.

“Kedua-dua mangsa kemudian berjaya diselamatkan dan operasi berkenaan tamat pada 7.52 malam,“ katanya di sini malam ini.

Setakat 8 malam tadi, 248 mangsa daripada 14 kawasan terjejas banjir di Masjid Tanah, Alor Gajah dipindahkan ke lima pusat pemindahan sementara (PPS) sejak petang tadi berikutan hujan lebat berterusan yang melanda pada sebelah pagi.