• 2025-06-27 10:32 AM

KUALA LUMPUR: Bank-bank di Malaysia memberi jaminan bahawa peluasan skop cukai perkhidmatan yang akan berkuat kuasa pada 1 Julai 2025 tidak akan menjejaskan perkhidmatan perbankan asas seperti akaun simpanan, akaun semasa, dan transaksi asas lain.

Kenyataan bersama dikeluarkan oleh Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM), dan Persatuan Perbankan Pelaburan Malaysia (MIBA) menjelaskan bahawa perkhidmatan asas seperti pengeluaran tunai, pemindahan dana, dan fi tahunan kad debit tidak akan dikenakan cukai perkhidmatan.

“Perkhidmatan ini termasuk fi yang dikenakan ke atas deposit tunai, pengeluaran, pembayaran atau pemindahan dana tempatan; pengeluaran kad debit dan bayaran tahunan selepas itu; serta urus niaga asas yang dilakukan di cawangan bank atau mesin teler automatik,“ menurut kenyataan tersebut.

Selain itu, fi tahunan kad kredit atau kad caj juga dikecualikan daripada cukai perkhidmatan. Faedah, keuntungan, serta penalti atau caj bersifat punitif turut tidak tertakluk kepada cukai baharu ini.

Peluasan skop cukai perkhidmatan akan lebih memberi kesan kepada perkhidmatan kewangan khusus seperti pengurusan dana, perbankan pelaburan, dan pembiayaan dagangan.

“Di bawah fasa 1 peluasan skop cukai perkhidmatan yang berkuat kuasa pada 1 Julai 2025, cukai perkhidmatan akan dikenakan hanya kepada perkhidmatan perbankan perbendaharaan, korporat dan pelaburan terpilih,“ jelas kenyataan itu.