• 2025-07-11 02:39 PM

JOHOR BAHRU: “Dia baru sahaja telefon saya minta saya doakan (keselamatan) ... tidak lama selepas itu, saya dapat tahu helikopter dia terhempas,“ kata Baharom Mohammed, 82, bapa kepada Supt Ahmad Bustamin Baharom, 46, yang terlibat dalam kemalangan helikopter berhampiran Sungai Pulai, Gelang Patah.

Menurut Baharom, anaknya yang berkhidmat dengan polis sejak 2005 sempat memaklumkan akan menaiki helikopter untuk latihan sebelum meminta doa keselamatan. Ahmad Bustamin, pembantu juruterbang, berjaya keluar awal dari helikopter yang tenggelam dan membantu rakan setugas yang cedera.

“Dia pernah ambil latihan berkaitan pengendalian helikopter sebelum ni. (Ketika kejadian) dia keluar dulu, selepas itu bantu anggota lain termasuk seorang yang hampir lemas,“ jelas Baharom.

Ahmad Bustamin mengalami patah tulang rusuk, lebam di muka, dan kebas di kaki tetapi stabil. Lima kru termasuk juruterbang ACP Faizul Mohammad berjaya diselamatkan oleh Pasukan Polis Marin dan sedang dirawat di Hospital Sultanah Aminah - BERNAMA