GEORGE TOWN: Lebih 70,000 petak strata di Pulau Pinang masih merekodkan tunggakan bayaran cukai petak yang tinggi sehingga 1 Jun, melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM12.5 juta.
Pengarah Tanah dan Galian Pulau Pinang Dr Faizal Kamarudin berkata majoriti tunggakan itu bermula sejak 2019, iaitu tarikh permulaan bayaran cukai petak diperkenalkan kepada skim pembangunan berstrata di negeri itu.
Beliau berkata daerah Timur Laut mencatatkan tunggakan tertinggi melibatkan 32,000 akaun cukai petak strata.
“Dikhuatiri sekiranya pemilik petak strata berdaftar tidak membuat bayaran tunggakan dengan segera, Notis Tuntutan Tunggakan Cukai Petak melalui Borang 11 di bawah Akta Hakmilik Strata 1985 akan disampaikan kepada pemilik terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Faizal berkata jika pemilik petak strata masih tidak membayar tunggakan cukai petak sepenuhnya dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh Notis Borang 11, tindakan perampasan boleh dibuat di bawah Seksyen 23 akta sama.
Tindakan itu boleh dilaksanakan oleh Pentadbir Tanah dan petak strata tersebut akan dikembalikan menjadi milik Pihak Berkuasa Negeri.
Sehubungan itu, beliau berharap semua pemilik petak strata terlibat dapat membuat bayaran tunggakan cukai petak dengan segera bagi mengelakkan tindakan perampasan diambil.
Pemilik petak strata yang mempunyai pertanyaan lanjut boleh menghubungi Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pulau Pinang atau semua Pejabat Daerah dan Tanah.